Kursus : HE23 : Kewangan Islam Apa itu hukum hudud? ~ Sekretariat Masjid (SM) UMSKAL
Home » » Apa itu hukum hudud?

Apa itu hukum hudud?

Definisi yang dapat dipetik daripada penulisan cendekiawan agama mengenai hudud ialah hukum-hukum tertentu yang ditentukan oleh Allah sama ada melalui al-Quran atau sunnah Nabi Muhammad s.a.w sebagai hak Allah yang dikenakan ke atas pesalah-pesalah yang telah melakukan jenayah-jenayah tertentu yang digolongkan dalam jenayah hudud.


Terdapat 7 jenis jenayah hudud yang diterangkan oleh al-Quran iaitu :

- Zina

- Tuduhan zina (Qazaf) tanpa 4 orang saksi

- Minum arak

- Mencuri

- Hirabah (Perusuh/pensabotaj keamanan)

- Murtad

- Baghy (Bughah-Pemberontakan)





Al-Mawardy mendefinisikan hudud sebagai sekatan-sekatan atau deraan yang ditentukan oleh Tuhan sebagai balasan (hukuman) kerana melakukan perkara-perkara yang ditegah dan meninggalkan perkara-perkara yang diperintah, kerana tabiat semulajadi manusia yang dikuasai oleh nafsu yang melalaikan dari seksaan akhirat dengan semata-mata mengejar kelazatan dunia yang segera. (al-Mawardy, al-Ahkan al-Sultaniyyah.hlmn 221)


Melaksanakan hukum hudud ini adalah WAJIB dan dikira sebagai HAK ALLAH. Maksud hak Allah ialah seksaan itu tidak boleh digugurkan (dimaafkan) sama ada oleh individu atau masyarakat. (Abdul Qadir Audah, al-Tasyri al-Jinaiy al Islamiy, hlmn.78)


Ini adalah antara dalil-dalil yang disebut daripada al-Quran dan juga hadis.



Pengharaman zina, firman Allah yang bermaksud :

Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk. (Surah al-Isra : 32)

Hukuman zina, firman Allah:

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah disebat tiap-tiap seorang daripada mereka seratus kali sebatan. (Surah an-Nur : 2)


Hadis Nabi mengenai zina, mafhumnya :

Ambillah dari aku! Sesungguhnya Allah memberi jalan kepada mereka (perempuan yang berzina), jikalau teruna dengan dara, hendaklah disebat seratus kali sebatan dan di buang negara satu tahun, dan jika yang telah berkahwin dengan yang telah berkahwin, hendaklah disebat seratus kali sebatan dan direjam dengan batu sampai mati. (Muslim,Sahih: hlmn.188)


Zina diharamkan dan hukuman hadnya adalah dibuang negeri (taghrib) dan disebat seratus kali bagi yang belum berkahwin, dan disebat seratus kali dan direjam sampai mati bagi yang sudah berkahwin (muhsan). Ada pendapat menyatakan rejam hanya bagi yang telah berkahwin.


Pengharaman tuduhan zina (Qazaf) tanpa empat orang saksi dan hukuman Had mengenainya, firman Allah dalam surah an-Nur ayat 4 bermaksud :

Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita baik melakukan zina dan tidak membawa empat orang saksi, maka deralah mereka (penuduh) lapan puluh kali sebatan, dan janganlah kamu menerima kesaksiannya lagi buat selama-lamanya, dan mereka adalah orang-orang fasik.


Pengharaman minum arak, firman Allah yang bermaksud :

Hai orang-orang beriman ! Sesungguhnya meminum khamar (arak), berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan, Krana itu, jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan (kejayaan) - (Surah al-Maidah : 90)

Hukuman hudud meminum arak ialah disebat, tetapi jumlahnya terdapat dua riwayat :

Melalui satu hadis diriwayatkan bahawa, baginda Rasulullah s.a.w telah memukul (sebat) seorang lelaki yang meminum arak dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali dan begitu juga yang dilakukan oleh Abu Bakar, tetapi pada masa Saidina Umar, beliau berbincang dengan sahabat-sahabat dan berkata seorang sahabat, Abdul Rahman seringan-ringan hudud ialah lapan puluh kali sebatan. (Muslim, Sahih: hlm.214) dan Umar menurutnya.


Hukuman hudud jenayah mencuri, firman Allah yang bermaksud :

Lelaki dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya sebagai balasan atas apa yang mereka lakukan sebagai seksaan daripada Allah swt. Dan Allah Maha perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Maidah : 38)


Hukuman perusuh dan pensabotaj ketenteraman (hirabah). Firman Allah:

Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik atau dibuang negeri. Yang demikian satu penghinaan untuk mereka di dunia dan di akhirat mereka akan memperoleh seksaan yang besar. (Surah al Maidah : 33)


Pengharaman Murtad, firman Allah yang membawa maksud :

Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka tidaklah akan diterima agama itu daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (Surah Ali Imran : 35)

Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka amal ibadahnya menjadi sia-sia di dunia dan akhirat. (Surah al-Baqarah : 217)

Tidak halal darah seorang Muslim yang telah bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan mengakui Aku (Muhammad) sebagai Rasulullah melainkan terhadap salah satu dari tiga (orang) iaitu penzina yang telah berkahwin, membunuh orang tanpa hak dan orang yang meninggalkan agamanya (murtad). (Muslim, Sahih: hlmn 614)


Jenayah baghy. Pengharaman dan hukumannya mengikut firman Allah yang membawa maksud :

Dan jika dua golongan dari orang mukmin yang berperang maka damaikanlah antara keduanya, jika salah satu dari dua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain, maka perangilah golongan yang membuat aniaya itu sampai golongan itu kembali kepada perintah Allah. (Surah Al-Hujurat :9)


Inilah sumber perundangan yang utama daripada AlQuran dan Sunnah mengenai jenayah. Syariat menentukan secara tepat mengenai seksaan atau hukuman bagi tiap-tiap jenayah hudud, di mana tidak ada hak mana-mana pihak persendirian atau mana-mana organisasi untuk memilih atau meminda dalam hukuman seperti yang diperintahkanNYA.

Wallahu'alam~

(Sumber : Arkib Islam)

Jika Anda menyukai Artikel di blog ini, Silahkan klik disini untuk berlangganan gratis via email, dengan begitu Anda akan mendapat kiriman artikel setiap ada artikel yang terbit di Creating Website

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More