Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera...
Setinggi-tinggi syukur ke hadrat Illahi kerana pada hari ini dan saat ini dapat kita merasakan kenikmatan hidup selama berpuasa di bulan Ramadhan dan seterusnya akan menyambut hari kemenangan pada 1 Syawal 1432H.
Selaku manusia yang mempunyai perasaan, nafsu dan kehendak hati sememangnya kita tidak lari dari melakukan kesilapan. Bayangkan, selama hidup kita, sudah berapa kali kita melukakan hati sahabat-sahabat mahupun sesiapa sahaja secara sengaja ataupun tidak? Pernahkah kita terfikir bahawa suatu hari nanti kita akan ‘pergi’ buat selama-lamanya? Namun, tahukah kita bila waktu ‘pergi’ itu? Apa kaitan membuat kesilapan dan ‘pergi’?
Sahabat-sahabat warga UMSKAL,
Perkongsian sempena menjelang Syawal ini, mari kita rendahkan keegoan kita serendah-rendahnya, melenyapkan hati amarah & gundah dengan zikrullah. Menjadikan sifat pemaaf dalam diri kita adalah suatu peribadi yang mulia. Sebesar mana mungkin kesilapan yang pernah dilakukan ke atas kita, jadilah kita seorang pemaaf. Sepertimana firman ALLAH SWT:
Surah Al-A’raf ayat 199 - Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.
Sesungguhnya dalam mengejar syurga abadi, menjadi seorang yang mempunyai akhlak yang mulia adalah antara suatu yang menjadi cita-cita kita. Mungkin amat sukar memaafkan sehingga ada yang tidak sanggup memandang wajah insan yang pernah membuat silap ke atasnya. Ingatlah sahabat-sahabat, kebencian hanya memusnahkan persaudaraan sesama manusia. Kita tahu bahawa benci itu adalah antara sifat syaitan dan syaitan adalah makhluk yang pernah bersumpah untuk menyesatkan umat Adam. Fikirkanlah wahai insan yang masih menyimpan amarah & benci.
Sahabat-sahabat,
Apa kaitan antara melakukan silap dan ‘pergi’? Andaikanlah suatu hari nanti bahawa diri kita telah berpindah ke alam lain dan ketika itu kita belum sempat memaafkan dan memohon maaf kepada orang yang kita lakukan kesilapan ke atasnya. MasyaALLAH. Dimanakah letaknya diri kita nanti? Sesungguhnya, ALLAH MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENGAMPUN, tetapi manusia?? Mari kita bukakan kotak fikiran untuk terus berfikir apa yang bakal terjadi pada insan yang mempunyai dosa dengan insan lain. Maka berusahalah untuk memaafkan dan menjadi pemaaf sebelum ‘kiamat kecil’ mengundang kita.
Surah Al-Hijr ayat 85 : Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya, melainkan dengan benar. Dan sesungguhnya saat (kiamat) itu pasti akan datang, maka maafkanlah (mereka) dengan cara yang baik.
Menerusi ruangan ini, ingin dikongsikan kepada semua bahawa sebelum kita melelapkan mata untuk berehat, seharusnya kita bermuhasabah diri dan sentiasalah memaafkan kesilapan sesiapa sahaja walaupun bukan diri kita sebagai pemula kepada kesilapan. Mungkin pada waktu ini ada yang sedaya upaya berusaha untuk memperbaiki hubungan, maka berusahalah. Mari kita rebut untuk menjadi orang-orang yang disukai dan disayangi ALLAH SWT.
Surah Ali Imran ayat 134 : (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.
Wallahu’alam bis sawab~
Daripada ruangan ini juga, kami dari Sekretariat Masjid sesi 2010/2011 ingin merebut kesempatan pada saat dan ketika ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga UMSKAL.
0 comments:
Post a Comment