Home »
» 10 pintu masuk syaitan kuasai hati manusia
10 pintu masuk syaitan kuasai hati manusia
KETERBUKAAN manusia mengundang kehadiran syaitan dalam diri ada kaitan dengan sifat mazmumah yang menjadi amalan kehidupan seharian. Melalui pelbagai perbuatan maksiat dalam sedar atau tidak, sebenarnya menyediakan ruang syaitan menapak dalam diri.
Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, individu sanggup melakukan apa juga perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan.
Hati, organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia pada saat itu juga goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana merayap untuk menguasai tunjang dalam badan manusia.
Berlumbalah syaitan untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka sedaya upaya menawan hati itu dan memujuk nurani manusia supaya melanggar segala perintah Allah.
Allah berfirman bermaksud: "Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya." (Surah an-Nisa', ayat 120-121)
Beruntung manusia yang berupaya menangkis godaan syaitan. Menurut ulama, syaitan menguasai tubuh badan manusia melalui 10 pintu:
1) Sifat sombong dan angkuh
Dua sifat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia yang lazimnya mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan.
sikap sombong dan angkuh boleh menyebabkan manusia mengabaikan perintah ALLAH SWT.
"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri (angkuh).” (QS. 31:18)
orang-orang yang sombong menjadi penghuni neraka.
"Tidak akan masuk surga siapa saja yang di dalam hatinya terdapat sedikit kesombongan.” (HR. Muslim)
Orang Yang Sombong Pintu Hatinya Terkunci dan Tertutup.
“Demikianah ALLAH mengunci mati pintu hati orang yang sombong dan sewenang-wenang” (QS. Ghafir 35)
Kesombongan Membawa Kepada Kehinaan Di Dunia dan Di Akhirat.
"Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di dunia ini tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaanku”. (QS. Al-’Araf: 146)
2) Bakhil dan kedekut
Setiap harta benda dan kemewahan adalah kurniaan Allah yang harus dibelanjakan ke jalan benar. Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau sedekah.
Sifat bakhil atau kedekut adalah dicela(mazmumah) oleh syarak. Ianya adalah sifat yang membawa kepada kebinasaan di akhirat.
firman ALLAH SWT:
"Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan ALLAH kepada mereka dari kemurahanNYA - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi ALLAH jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi."
(surah Ali-Imran ayat 180)
Sabda Nabi saw:
”Awaslah kamu sekalian daripada sifat bakhil. Sesungguhnya umat terdahulu binasa kerana bersifat bakhil, sehingga mereka suka menumpahkan darah sesama mereka DAN menghalalkan apa yang diharamkan atas mereka”.
"Sesungguhnya Allah benci orang yang bakhil ketika hidupnya, yang dermawan di waktu matinya (dekat ajal)”.
Sayyidina Ali bin Abu Talib berkata,” Akan tiba nanti suatu masa yang sangat genting, orang-orang yang mempunyai harta akan mencengkam harta kekayaannya, tidak suka membahagi-bahagikan kepada orang yang memerlukannya, dan tidak ada pula orang yang mahu mengingatkannya”.
3) Takbur dan bongkak
Sifat ini selalu bertapak dalam diri manusia yang berasakan memiliki segala-galanya dalam hidup. Mereka terlupa kesenangan dan kenikmatan dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja.
Sombong, bongkak, angkuh atau takbur mempunyai satu pengertian yang sama, iaitu sifat mazmumah (sifat tercela @ keji). Sekelumit sifat itu menjadi kebencian dan kemurkaan Allah serta boleh menghalang kita mendapat balasan syurga.
Sifat takbur boleh dikenali melalui dua jenis, iaitu takbur zahir dan takbur batin.
Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakan. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggap lebih rendah ilmu pengetahuan daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan iaitu tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat orang lain.
Takbur batin adalah membesarkan diri dalam hati dan ini maksiat hati yang dicela. Contohnya, iblis menganggap dirinya lebih baik dan mulia daripada Nabi Adam.Dengan angkuhnya ia enggan tunduk kepada Nabi Adam sehingga menyebabkan Allah melaknat iblis dan seluruh keturunannya. Takbur juga boleh dibahagi kepada tiga, iaitu takbur terhadap Allah, takbur terhadap rasul-Nya dan takbur sesama manusia. Takbur kepada Allah bermaksud tidak mempedulikan perintah Allah, tidak menghiraukan ancaman-Nya dan memandang rendah segala syariat dan peraturan-Nya.
Takbur terhadap Rasulullah s.a.w ialah enggan mengikut petunjuk dan sunnahnya. Orang Quraisy pada zaman Rasulullah enggan mengikutnya kerana baginda anak yatim piatu. Orang Yahudi pula enggan berbuat demikian kerana baginda bukan daripada keturunan Bani Israel. Orang Yahudi berasa diri mereka lebih tinggi daripada orang lain, iaitu takbur sesama manusia. Mereka sering memandang rendah terhadap orang lain kerana menganggap diri mereka berilmu, kaya dan berpangkat sedangkan manusia dijadikan sama di sisi Allah.
Takbur adalah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit tidak boleh menjadi pendakwah kerana tindak tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi jika dia mewakili jemaah kerana nama jemaah akan turut mendapat tempiasnya.
Imam Ghazali memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur yang ada dalam diri manusia, iaitu :
- Apabila berjumpa kanak2, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak2 belum dibebani dosa.
- Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah mereka juga lebih mulia kerana mereka lebih lama beribadah daripada kita.
- Apabila berjumpa orang alim, anggaplah dia lebih mulia kerana banyaknya ilmu di dadanya.
- Apabila melihat orang jahil anggaplah mereka lebih mulia kerana berbuat dosa kerana kejahilan sedangkan kita dosa dalam keadaan mengetahuinya.
- Apabila berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakan, mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu bagaimana akhirnya kehidupan kita.
- Apabila bertemu orang kafir katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur."
(Surah an-Nahl, ayat 23)
4) Sifat khianat
Khianat yang dimaksudkan bukan saja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi perjanjian atau perkongsian yang dibuat.
Setiap orang yang hidup di dunia ini mempunyai tanggungjawab masing-masing yang menjadikan amanah untuk dilaksanakan, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadith baginda:-
Dari Abdullah bin Umar Radiallahu-Anhuma berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : "Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu sekalian akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pimpin."
(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
firman ALLAH SWT
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui."
(Al-Anfaal: 27).
Amanah adalah merupakan segala hak yang dipertanggungjawabkan ke atas seseorang, baik hak itu terhadap ALLAH SWT seperti mentaati perintahnya dan menjauhi larangannya, mengerjakan ibadat, berbuat amal soleh dan sebagainya. Ataupun hak terhadap sesama manusia seperti menepati janji, berlaku jujur, berbaik sangka, menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami atau isteri dan sebagainya. Agama Islam telah memerintahkan umatnya supaya melaksanakan amanah itu dengan jujur dan sempurna.
Oleh yang demikian adalah menjadi kewajipan ke atas kita melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kerana jika sekiranya kita ingkar dan tidak menunaikannya, maka ini bererti kita telah melakukan khianat dan khianat itu merupakan salah satu daripada tanda orang munafik.
Khianat ialah seseorang yang telah diberi kepercayaan kepadanya oleh orang lain tetapi ia tidak mematuhi dan menunaikan amanah yang dipercayakan kepadanya. Sebagaimana contoh, seorang suami telah diamanahkan oleh agama supaya memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya tetapi tidak menunaikannya bahkan mengabaikannya, maka dalam hal ini ia telah melakukan khianat.
Khianat adalah merupakan perbuatan buruk dan keji dan termasuk dalam golongan dosa besar, ianya bukan sahaja boleh menimbulkan permusuhan, tetapi juga boleh merosakkan agama. Perbuatan khianat itu adalah perbuatan orang-orang munafik.
sabda Rasulullah S.a.w.:
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu : Dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Tanda orang munafik itu ada tiga perkara iaitu jika ia berbicara sentiasa berdusta, dan apabila berjanji sentiasa mungkir janji, dan apabila diberi kepercayaan ia mengkhianatinya."
(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Ketahuilah bahawa seseorang yang benar-benar mengaku dirinya sebagai orang Islam tidak akan sanggup berlaku khianat terhadap agamanya seperti menyebarkan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam dan tidak akan menyelewengkan akidah dirinya dan saudara-saudara Islamnya yang lain. Dan mereka juga tidak akan mengkhianati negaranya dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam seperti melakukan rasuah, mengedar wang palsu, menyalahgunakan kuasa dan membocorkan rahsia yang diamanahkan kepadanya. Kerana perbuatan-perbuatan tersebut adalah amat merbahaya dan boleh mengancam keselamatan sesebuah negara, dan boleh menimbulkan kekacauan, dan huru-hara, meruntuhkan kestabilan ekonomi dan melumpuhkan pembangunan negara dan seterusnya menghancurkan negara.
Firman ALLAH SWT
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasulnya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui salahnya."
(surah Al-Anfaal, ayat 27)
Perlu juga diingat, seorang pemimpin atau ketua yang telah diberi kepercayaan untuk memimpin, baik negeri, jabatan atau sebarang organisasi dan kumpulan, hendaklah melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sempurna dan berpegang dengan
firman ALLAH SWT:
"Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya yang berhak menerimanya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (ALLAH menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya ALLAH dengan suruhannya itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya ALLAH sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat."
(surah An-Nisaa, ayat 58)
Manakala orang yang dipimpin pula, hendaklah taat dan patuh terhadap arahan dan peraturan selagi tidak bercanggah dengan lunas-lunas Islam kerana dengan berbuat demikian sahajalah boleh menghasilkan kejayaan dan keuntungan, baik kepada individu, kumpulan atau kepada jabatan dan seterusnya negara.
5) Tidak suka menerima ilmu dan nasihat
Junjungan Rasulullah SAW selalu menasihati sahabat supaya mengelakkan diri daripada menjadi golongan keempat di kalangan manusia yang dibenci Allah iaitu tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.
6) Hasad dengki
Sifat ini selalu diikuti rasa benci dan dendam berpanjangan.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
"Hindari kamu sifat hasad kerana ia memakan amalan kamu seperti api memakan kayu kering." (Hadis riwayat Bukhori dan Muslim)
Kata Imam Al-Ghazali, hasad dengki ialah sebesar-besar kejahatan manusia yang dicela oleh syarak. Katanya lagi, "Ketahuilah hasad itu haram dan maknanya ialah engkau suka hilang nikmat daripada orang yang engkau dengki atau turun bala kepada orang itu," – (Hidayatus Salikin 206).
Sifat hasad itu mendatangkan kemurkaan Allah. Ia boleh membinasakan diri seseorang dan amalannya.
Rasulullah bersabda bermaksud:
“Takutlah kamu semua akan sifat dengki sebab sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.”
(Riwayat Abu Daud daripada Abi Hurairah – Riadus Salihin 4:1441)
7) Meremehkan orang lain
Sifat ego manusia selalu lahir apabila individu berasa dirinya sempurna berbanding orang lain yang dilihat terlalu kecil dan kerdil dengan apa dia miliki.
Abu Umamah pernah meriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud:
"Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua Muslim, orang berilmu dan imam yang adil."
(Hadis riwayat Muslim)
8) Sifat ujub atau bangga diri
Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Jangan kamu bersenang-lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah bukan orang yang bersenang-senang saja."
(Hadis riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)
9) Suka berangan-angan
Islam antikemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam hidup dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian tinggi tetapi amat malas berusaha untuk memperolehnya.
10) Buruk sangka
Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidik amat dicela Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang sudah rosak dirinya."
(Hadis riwayat Muslim)
Jika Anda menyukai Artikel di blog ini, Silahkan
klik disini untuk berlangganan gratis via email, dengan begitu Anda akan mendapat kiriman artikel setiap ada artikel yang terbit di Creating Website
0 comments:
Post a Comment