[Poster] Selamat Menyambut Nuzul Al-Quran 1433H

Ayuh tingkatkan kecintaan kita terhadap Al-Quran di bulan Ramadhan ini!

[Ramadhan] Ramadhan Bulan Tarbiyyah

Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat ku lalui dengan sempurna~

Poster Ramadhan SM UMSKAL

Sekretariat Masjid (SM) UMSKAL mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa!

Salam Imtihan!

Man Jadda Wa Jadda~

Kita Peduli!

Ambillah Peduli Isu Syria

Gotong Royong Perdana Sekretariat Masjid

Bergotong-royong amalan mulia~

Diskusi Ilmiah Mingguan (Usrah)

Usrah tunjang perjuangan!

Ayuh Syabab!

Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk [Surah Al-Kahfi : 13].

Solat Berjemaah.

Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat [Bukhari dan Muslim].

Solat Hajat Perdana 2012 : Munajat Imtihan

Ku Suluh Jalan Menuju RedhaMu.

Kelebihan/Fadhilat Puasa Sunat Hari Arafah


Di saat tetamu-tetamu Allah di Tanah Suci sedang beribadat ketika wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, kita yang tidak berkesempatan untuk melaksanakan haji, bolehlah melakukan puasa hari arafah. Puasa sunat Hari Arafah adalah khas untuk mereka yang tidak pergi menunaikan haji.

Kelebihan puasa Hari Arafah

Telah tersebut dalam satu hadith Sahih Muslim yang bermaksud,
Dan Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari ‘Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Maka untuk mereka yang berpuasa pada Hari Arafah akan diganjarkan dengan penebusan dosa setahun sebelum dan selepas. InsyaAllah. Kalau betul niat, betul cara.
Didalam riwayat lain Nabi saw bersabda :
“Puasa hari Arafah, sesunguhnya aku berharap Allah swt agar menghapuskan dosa setahun yang lepasnya dan tahun yang sebelumnya” – (Hadith riwayat Tirmidzi)
Daripada Sayyidatina ‘Aisyah telah berkata :
Tiada dari hari dalam setahun aku berpuasa lebih aku gemari daripada hari Arafah – (Hadis riwayat Ibnu Abu Syaibah dan Baihaqi) 


Niat Puasa Sunat Hari Arafah

Mungkin ramai akan tanya, “Macam mana nak niat puasa sunat hari arafah?”. Ada dua pendapat tentang niat. Satu kita boleh niat dengan cara niat umum, contoh, “Sahaja aku puasa sunat”. Ataupun satu lagi, dengan cara khusus, contoh “Sahaja aku puasa sunat hari arafah”. Tak ada masalah untuk buat yang mana-mana.

Jom ramai-ramai pakat berpuasa pada esok hari.
InsyaAllah.
Moga Allah redha dan berkati.
Amin~

.:: Aslih Nafsak, Wad'u Ghairak ::.

Nuzul Al-Quran : Sejauh Mana Cinta Kita Terhadap Al-Quran?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga  seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.



‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
"Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)."
[Surah Al-An’am : 38]
Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” 
[Surah Al-‘Alaq : 1-5]


Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah  SWT
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" 
[Surah Al-Qadar : 1-5]

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan  berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan  bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
1.      Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
2.      Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia   
      melalui perantaraan Pena dan Tulisan.

3.      Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
      Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.
            Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”. 
Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.
Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap
Kesimpulan     

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Semoga kita semua diberi kekuatan untuk mengamalkan pembacaan al-Quran yang mantap dan sentiasa berada di bawah naungan, redha dan lindungan Allah, insyaAllah~






.:: Selamat Menyambut Nuzul Al-Quran 1433H ::.



Ramadhan Bulan Tarbiyyah


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
"Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat ku lalui dengan sempurna..."
Lirik lagu 'Harapan Ramadhan' daripada Man Bai ini jelas menunjukkan bahawa setiap antara kita sangat mengharapkan agar Ramadan kita menjadi Ramadan yang terbaik, penuh makna dan lebih sempurna.
Namun, apakah yang kita lakukan untuk menjadikan Ramadan kita sebagai sesuatu yang bukan sia-sia? Jikalau sekadar berpuasa hanya dengan menahan lapar dan dahaga, itu bukan erti Ramadan yang sebenarnya. Dalam mengharungi ujian sebulan untuk tidak makan dan tidak minum, kita juga sebenarnya diuji untuk menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang mungkar, sia-sia dan tidak diredhai Allah.
Seringkali kita dengar bahawa bulan Ramadan itu merupakan bulan tarbiyah. Ia menjadi satu medium untuk kita memperbaiki diri menjadi muslim sejati, satu bulan yang sangat membantu kita untuk melakukan refleksi diri, untuk menilai diri kita dan melihat di tahap mana ketaqwaan kita kepada Allah SWT.
Oleh sebab itu, rutin harian kita juga perlu diubah dan ditambah baik agar erti kesempurnaan bulan Ramadan itu benar-benar kita rasai. Antara perkara yang perlu kita perbaiki adalah jadual untuk melaksanakan amalan wajib. Jikalau selama ini kita sering solat pada akhir waktu, ubahlah diri kita untuk menjadi orang pertama yang berada di atas tikar sembahyang. Teringat saya akan kata-kata seorang teman, "Biar kita yang menunggu waktu solat. Jangan biarkan waktu solat yang menunggu kita." Kata-kata ringkas itu cukup untuk menyedarkan kita tentang keutamaan solat pada awal waktu.
Selain daripada itu, amalkan membaca Al-Quran. Kitab Al-Quran merupakan kalamullah yang di dalamnya penuh dengan nasihat, iktibar dan suruhan Allah yang harus kita laksanakan. Dalam surah al-Baqarah jugalah Allah SWT berfirman tentang kewajipan melaksanakan ibadah puasa:
"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa."
(Surah al-Baqarah, ayat 183)

Jika dahulu begitu sukar bagi kita untuk membuka helaian Al-Quran (apatah lagi untuk membacanya), maka, bulan Ramadan inilah bulan yang sepatutnya kita gunakan setiap masa dengan sebaiknya untuk menjadikan Al-Quran sebagai teman karib dan sahabat kita walau di mana kita berada. Firman Allah SWT:
"Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya."
(Surah al-Kahf, ayat 27)

Bacaan Al-Quran yang dihayati dengan sebaiknya, mampu melembutkan hati kita untuk kembali kepada fitrah Ilahi. Kisah pengislaman Saidina Umar RA boleh dijadikan contoh terbaik. Saidina Umar RA yang begitu keras hatinya dan selalu mencari jalan untuk menentang Rasulullah SAW akhirnya memeluk Islam setelah membaca surah Taha:
"Taa' Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah. (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy."
(Surah Taha, ayat 1-5)

Seterusnya, amalan bersedekah. Sedekah merupakan suatu pemberian kepada orang lain. Sedekah itu suatu yang subjektif. Ramai insan masa kini yang menyalahtafsirkan erti sedekah yang sebenarnya. Sedekah bukan sahaja dari segi kewangan, memberi wang kepada orang lain, harta benda dan sebagainya. Bahkan, senyuman juga dikira sebagai sedekah. Membuang sesuatu yang menghalang di jalanan juga sedekah. Mengajarkan sesuatu yang bermanfaatkan kepada orang lain juga dikira sebagai sedekah. Firman Allah SWT:
"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya..."
(Surah al-Baqarah, ayat 261)

"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia."
(Surah al-Hadiid, ayat 18)

Justeru, jadikanlah bulan Ramadan kita sebagai satu bulan yang penuh dengan keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Jadikanlah ia titik permulaan untuk kita tarbiyah diri kita. Semoga kita dapat beristiqamah dalam meneruskan amalan kita sehingga pada bulan-bulan seterusnya, insya-Allah.

Wallahu'alam~

p/s : Di kesempatan ini, kami di pihak Sekretariat Masjid (SM) UMSKAL mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua warga kampus UMSKAL. Semoga Ramadhan kali ini memberi makna yang mendalam kepada kita semua berbanding Ramadhan yang sebelumnya. InsyaAllah~ ")

Fatwa & Hukum Menyambut April Fool


Pada 1 April setiap tahun, sebahagian masyarakat menyambut hari tersebut dengan mengadakan perbuatan menipu atau gurauan untuk mengenakan orang lain. Mereka memanggil tarikh 1 April ini sebagai April Fool.
Kita sedia maklum bahawa April Fool bukanlah budaya kita, tetapi ia merupakan budaya yang dibawa masuk dari Barat. Dan ISLAM juga sangat-sangat melarang ummatnya melakukan perbuatan menipu dengan sengaja, walau dalam bentuk apa sekalipun, samada dalam bentuk gurauan ataupun bukan.
Mari kita lihat beberapa pendapat `ulama muktabar berkaitan isu April Fool ini:

1) Shaikh Dr. Yusuf al-Qaradawi:

Beliau menyebutkan bahawa menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu petanda kemunafikan. Ini kerana Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Orang munafik mempunyai tiga ciri: Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Rasulullah sallAllahu Alaihi Wassalam memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan menghiburkan manusia. Baginda sallallahu `alaihi wasallam bersabda:
“Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai’e]
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam juga bersabda:
“Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran.” [HR Ahmad dan At-Thabrani].
Sebahagian hadis Nabi sallallahu `alaihi wasallam turut memberikan amaran ke atas umat Islam daripada menakutkan orang lain sama ada secara serius mahupun bergurau. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” [HR Abu Daud]
Oleh kerana itu, menipu adalah dilarang di dalam apa bentuk pun. Sambutan ini (hari April Fool) adalah dilarang kerana empat sebab:
  1. Larangan menipu yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
  2. Kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas (yang disebabkan penipuan itu) yang mungkin boleh menimpa seseorang mahupun kesemua ahli keluarganya walaupun hanya untuk satu jam.
  3. Pengkhianatan ke atas kepercayaan yang diberikan.
  4. Meniru budaya buruk yang bukan milik kita, iaitu penipuan.

2) Shaikh Atiyyah Saqr:

Adalah menjadi kesepakatan kesemua agama dan akal yang waras bahawa kejujuran itu satu kebaikan, dan penipuan adalah lawannya. Untuk menyatakan kebenaran, kata-katamu hendaklah menerangkan realiti, sedangkan untuk menyatakan penipuan adalah dengan menyampaikan apa yang bercanggah dengan apa yang kamu katakan mahupun lakukan. Seburuk-buruk pendustaan adalah sumpah yang palsu, bahkan itu adalah satu bentuk kemunafikan.
Penipuan adalah dilarang kecuali ia dilakukan dalam keadaan dharurat. Di dalam kes tersebut, kaedah “dharurat menjadikan yang haram harus” digunakan. Dharurat hanya boleh diambil apabila tiada pilihan lain. Salah satu bentuk penipuan yang dibenarkan ialah apa yang kita panggil sebagai helah, iaitu menggunakan perkataan yang membawa lebih daripada satu maksud. Umat Islam mungkin boleh mengambil pemahaman yang positif daripada penafsiran perkataan (yang mempunyai dua makna) tersebut.
Diriwayatkan bahawa penipuan dibenarkan untuk memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Seseorang yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik, walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu.” [HR al-Bukhari dan Muslim].
Ummu Kalsum binti ‘Uqbah turut berkata, di dalam tambahan lafaz ke atas hadis itu, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam membenarkan menipu kecuali di dalam tiga situasi; ketika perang, untuk mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah, dan perbualan biasa antara suami isteri.” Apa yang dimaksudkan dengan perbualan biasa antara suami isteri ialah untuk meredakan kesusahan di dalam kehidupan. [Islamonline.net]

3) Shaikh Shalih Fauzan:

Di dalam laman islamqa.com fatwa nombor: 10834, beliau menyatakan bahawa:
Penipuan adalah tidak dibenarkan langsung, pada bila-bila masa sahaja. Bahkan adalah tidak dibenarkan untuk meniru orang kafir dan menjadi seperti mereka, sama ada pada hari ini (hari April Fool), mahupun pada hari-hari yang lain. Ini kerana Rasulullah sallAllahu `alaihi wassalam bersabda:
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.”
Berdasarkan fatwa-fatwa di atas, kita akan mendapati bahawa budaya April Fool jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umat Islam sentiasa bersifat jujur.
Muslimin/muslimat sekalian,
Jika tanpa melihat fatwa dan pandangan ulama pun, kita sedia maklum bahawa amalan menipu melanggar etika seorang manusia yang bermoral. Tiada satu pun manusia yang normal fikirannya yang suka atau rela dia ditipu.
Apatah lagi ditambah lagi dengan komen-komen para ulama yang disertakan hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang melarang kita menipu, maka ternyatalah bahawa tradisi April Fool ini wajar dihentikan dan ditinggalkan oleh mereka yang selalu menyambutnya, walau untuk tujuan bergurau! (Ketiga-tiga pendapat ulama di atas telah saya petik dari laman sebuah laman blog, terima kasih.)
Mudah-mudahan peringatan ini bisa membuka minda dan menyedarkan kita semua betapa ISLAM adalah agama yang sejahtera dan mensejahterakan. Larangan ini bagi menjaga hak setiap jiwa manusia agar tidak teraniaya.

Ambillah Peduli Isu Syria, Sunni Yang Dizalimi Si Syiah Basyar Al-Asad

Assalamu'alaikum.

Jom layan video ini untuk mengetahui tentang pergolakan yang berlaku di Syria. Inilah jadinya bila puak Syiah diberikan tampuk kuasa, sama halnya dengan yang berlaku di Iraq.



Nilai, 12 Feb : Pergolakan di negara Islam Syria yang terus bergolak semakin mendapat perhatian umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Rejim Presiden Basyar al-Assad yang terus menggunakan kekerasan tentera untuk mempertahankan kekuasaannya yang tergugat rentetan dari revolusi ‘Arab Spring’ dikecam umat Islam seluruh dunia.
Isu ini turut menjadi tumpuan di peringkat antarabangsa dengan bantahan daripada 107 orang ulama termasuk Pengerusi Kesatuan Ulama’ Sedunia, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
Pergolakan di Syria dilihat sebagai isu yang begitu parah apabila meletusnya demonstrasi berdarah selama 11 bulan di negara itu menyaksikan angka kematian mencecah 6 ribu orang dan jumlahnya semakin meningkat hingga kini.

Valentine's day

Fatwa larangan sambut Hari Kekasih (Valentine’s Day)



Tulisan Ustaz Aizam Masod
Terkejut juga penulis apabila mendapati masih ada pihak yang mempromosikan Hari Kekasih @ Valentine’s Day. Bukankah telah ada fatwa yang mengharamkan sambutan hari Valentine ini? Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.
Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Bukti-bukti Hari Valentine masih merupakan upacara ritual keagamaan umat Kristian iaitu :
i. Di dalam laman web Spiritrestoration.org: The Premier, Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah topik Definition of religious Holy Days (Pengertian Hari-hari Suci keagamaan), di bawah indeks Saint Valentine’s Day menyebut bahawa: “Christian celebration of the love of God presented in Jesus and in the lives of Christian believers. St Valentine was a 3rd century martyr. This day is widely observed in the USA as a secular celebration of love.” Bermaksud : Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian, St. Valentine merupakan syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di USA sebagai perayaan cinta di zaman sekular.
ii. Termaktub di dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa jua versi berkenaan dengan St. Valentine, kesemua mereka adalah dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut : At least three different Saint Valentines, all of them martyrs, are mentioned in the early martyrologies under date of 14 February. Bermaksud : Sekurang-kurangnya terdapat tiga orang St. Valentine yang berbeza, kesemua mereka merupakan syahid, ianya disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.
iii. Britain Broadcasting Company (BBC) News Online Network melaporkan pada hari Ahad, 14 Februari 1999 bahawa terdapat dakwaan daripada biarawan di Gereja St. John Duns Scotus di Glasgow, Scotland bahawa wujudnya tulang Valentine yang syahid, ianya merupakan servis istimewa hari Valentine pada hujung minggu serta diletakkan di ruang pameran sebagai pameran umum dengan termaktub di atas kerandanya tulisan ‘Corpus St. Valentine Martyris’. Dikatakan bahawa mayatnya telah diletakkan di ruang sayap Gereja St. Francis semenjak berabad lamanya, dan enam tahun lepas mereka baru sahaja meletakkannya di dalam keranda kayu di dalam kotak kadbod di atas almari berhampiran rumah gereja.
iv. Nama St. Valentine juga sering digunakan oleh gereja-gereja Roman Katolik bersempena mengingati jasa-jasa tokoh agama tersebut, seumpama:-
a. St. Valentine Church di Philadelphia, Pennsylvania
b. St. Valentine’s Catholic Church di Peru, Illinois
c. St. Valentine Church di Bethel Park, Pennsylvania
d. St. Valentine Church di Thonstetten, Moosburg, Munich
e. St. Valentine Church di Buffalo, New York
Adalah jelas bahawa tidak ada istilah Hari Kekasih atau Valentine’s Day dalam Islam. Hakikatnya, adalah tidak boleh orang-orang Islam menyertainya kerana hari tersebut adalah hari perayaan bagi umat Kristian berdasarkan asal-usul kemunculannya yang dipenuhi dengan unsur-unsur ritual keagamaan.
Apabila perayaan itu berunsurkan keagamaan, bergabung dengan mereka bermakna mengakui agama mereka dan meredhai kekufuran yang ada pada mereka. Maka para ulama berpendapat, bahawa umat Islam tidak boleh bergabung dalam dalam perayaan orang-orang kafir.
Senario menyambut Hari Kekasih yang berlaku di kalangan muda-mudi Islam juga merupakan antara faktor yang menyumbang kepada pergaulan bebas. Sungguhpun ia belum sampai ke tahap yang kronik, namun begitu apa yang lebih membimbangkan bukanlah setakat berutus-utus kad ucapan dan hadiah, atau meraikannya di kelab-kelab disko, tetapi dibimbangi muda-mudi ini sampai ke tahap menghadiahkan kehormatan diri demi membuktikan kecintaan dan kesetiaan.

Salam Imtihan

Assalamualaikum wbt...

Kami dari seluruh saff kepimpinan Sekretariat Masjid 2011/2012 mengucapkan Salam Imtihan kepada semua warga kampus UMSKAL.

Sahabat-sahabat yang diredhai ALLAH swt, sentiasalah kita mengingati bahawa dalam menghadapi apa sahaja, kita harus mengetengahkan usaha selepas kita memohon do'a daripadaNYA. ALLAH swt berfirman dalam Surah Ar-Raad ayat 11 :

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya"
[Surah Ar-Rad' :11]

Ayat ini memberi peringatan pada kita sekaligus perlu kita amalkan bahawa, kita harus berusaha dan amat mustahil untuk berjaya apabila menjadi insan yang redha sebelum berusaha. Sungguh, do'a, usaha dan tawakkal semestinya perlu untuk berjaya.



Dari pihak kepimpinan kami juga, semoga berjaya kami ucapkan. Diharapkan ALLAH memudahkan segalanya bagi kita. Maka, siap sedialah mengasah minda sebagai senjata yang tajam sebelum bertempur dalam medan peperiksaan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Dalam kesempatan ini, kami mengajak semua untuk sama-sama menjayakan Solat Hajat yang berlangsung setiap hari selepas solat Isyak sepanjang minggu peperiksaan. Dengan ini, dapatlah kita mengeratkan silaturrahim sesama kita dan merapatkan diri dengan ALLAH swt sebagaimana yang dituntutNYA.

Namun, janganlah kita menjadi insan yang hanya dekat padanya menjelang kesusahan sahaja. Sentiasalah menjadikan ALLAH swt sebagai 'peneman' samada di kala suka mahupun duka.

Semoga usaha kita untuk menjadi insan yang beriman dan berjaya akan berterusan. Amin.
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More