Home »
» Kelebihan Solat Berjemaah Di Masjid
Kelebihan Solat Berjemaah Di Masjid
SURAU dan masjid tidak meriah dengan jemaah pada sembahyang fardu lima waktu, kecuali Maghrib dan Isyak. Yang hadir untuk sembahyang berjemaah hanya orang tua. Orang muda, walaupun ada yang datang ke surau dan masjid untuk sembahyang berjemaah, tetapi bilangan mereka boleh dibilang dengan jari.
Mereka datang ke masjid hanya pada Jumaat untuk sembahyang Jumaat dan pada hari raya untuk sembahyang sunat Aidilfitri. Mereka tidak rajin sembahyang di surau dan masjid mungkin tidak tahu kelebihan sembahyang berjemaah.
Surau dan masjid adalah rumah Allah yang sewajarnya kita semarakkan dengan sembahyang berjemaah dan aktiviti keagamaan seperti mengadakan kelas tajwid, kelas bahasa Arab, kelas fardu ain, kelas membaca al-Quran dan sebagainya. Semua aktiviti itu untuk memantapkan pengetahuan dan ilmu jemaah (lelaki dan wanita) kepada Islam dan pada waktu sama meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan jemaah kepada Allah s.w.t.
Sembahyang berjemaah di surau dan masjid boleh mengeratkan persaudaraan dan silaturahim sesama Islam dalam sesuatu kawasan. Sesetengah ulama berpendapat sembahyang berjemaah adalah lambang perpaduan, kemesraan dan kekuatan umat Islam. Umat Islam bersatu, melupakan fahaman politik, melupakan warna kulit, melupakan kedudukan dan pangkat dalam masyarakat, merendah diri dengan tulus ikhlas bersama-sama menghadap Allah.
Sembahyang berjemaah dalam jumlah yang ramai adalah lebih afdal dan utama daripada jumlah yang sedikit. Sehubungan ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Daripada Ubai bin Kaab katanya, telah bersabda Rasulullah: “Sembahyang seorang lelaki berserta seorang lelaki lebih baik daripada ia sembahyang seorang diri dan sembahyang seorang lelaki berserta dua orang lelaki lebih banyak ganjarannya daripada ia bersama-sama dengan seorang lelaki sahaja. Dan jemaah yang lebih banyak, jemaah itu lebih dikasihi Allah.” (Riwayat Abu Daud).
Sesungguhnya sembahyang berjemaah itu sunat muakkad yang sangat diberatkan. Dan sembahyang berjemaah bagi orang lelaki pada sembahyang fardu hukumnya fardu kifayah. Fardu kifayah ertinya jika telah dilakukan sekumpulan dalam sesuatu tempat atau kawasan, maka gugurlah dosa penduduk yang lain di tempat atau kawasan berkenaan. Tetapi jika tidak ada yang melakukannya berdosalah seluruh penduduk dalam kawasan itu.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Daripada Abu Darda’ r.a bahawasanya Nabi bersabda: Tiada tiga orang di dalam sebuah kampung atau dusun yang tidak diadakan di sana sembahyang jemaah, melainkan nyatalah bahawa mereka telah dikuasai oleh syaitan. Sebab itu, usahakanlah mengadakan sembahyang berjemaah. Sesungguhnya kambing yang terpencil daripada kawannya sahajalah yang dapat dimakan oleh serigala.” (Riwayat Abu Daud dan An-Nasai).
Walaupun Allah tidak mewajibkan hamba-Nya sembahyang berjemaah setiap sembahyang fardu, banyak hadis menerangkan mengenai ancaman atau balasan yang akan diterima mereka yang meringan-ringankan sembahyang jemaah. Salah satu hadis itu, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang meninggalkan sembahyang berjemaah itu adalah terkutuk di dalam kitab Taurat, Injil, Zabur dan al-Quran. Orang yang meninggalkan sembahyang berjemaah itu berjalan di muka bumi, bumi mengutuknya, orang yang meninggalkan sembahyang berjemaah itu dimurkai Allah, malaikat dan segala makhluk Allah yang bernyawa dan dimurkai pula oleh malaikat yang berada di antara langit dan bumi serta semua ikan yang berada di laut.”
Sebagaimana diterangkan bahawa banyak kelebihan dan keistimewaan sembahyang berjemaah. Antaranya ialah orang yang sembahyang berjemaah mendapat dua puluh tujuh darjat daripada orang sembahyang bersendirian. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Daripada Ibnu Umar r.a. katanya, Rasulullah bersabda: Sembahyang berjemaah itu lebih utama pahalanya daripada sembahyang sendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Selain itu, orang yang sembahyang berjemaah diangkat darjat daripada mendapat rahmat, diampunkan dosa serta didoakan malaikat. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah bersabda: Sembahyang seseorang dengan berjemaah itu melebihi sembahyangnya di rumah atau di pasar sebanyak dua puluh lima kali ganda. Sebabnya ialah apabila dia berwuduk, dilakukannya dengan baik lalu pergi ke masjid sedang pemergiannya itu tidak lain daripada hendak sembahyang semata-mata, maka setiap langkah yang dilangkahnya, diangkatlah kedudukannya satu darjat dan dihapuskan satu dosanya. Dan jika dia sedang sembahyang, maka malaikat memohonkan untuknya rahmat selama dia masih berada di tempat sembahyang itu selagi dia belum berhadas, kata mereka, “Ya Allah! Berilah orang ini rahmat, ya Allah! Belas kasihanilah dia. Dan orang ini dianggap sedang bersembahyang, sejak dia mulai menantikannya.”
Daripada kitab Durratun Nasihin, Rasulullah memberitahu melalui hadisnya yang bermaksud: “Barang siapa sembahyang lima waktu berjemaah, maka baginya lima perkara (hadiah). Pertama, dia tidak ditimpa kefakiran di dunia. Kedua, Allah membebaskan dia daripada seksa kubur. Ketiga, dia akan menerima kitab catatan amal dengan tangan kanannya. Keempat, dia melalui jambatan (siratulmustakim) sebagai kilat yang menyambar dan kelima, Allah memasukkannya ke syurga tanpa hisab dan seksa.”
Mengambil kira kelebihan dan hikmah yang diperoleh orang yang sembahyang berjemaah di surau atau masjid, rugilah bagi mereka yang mempunyai kesempatan dan kelapangan tetapi tidak berbuat demikian. Oleh kerana pahala dan ganjaran Allah tidak nampak, kita pun meringan-ringankan sembahyang berjemaah ini.
Oleh yang demikian, marilah kita ke surau dan masjid menunaikan sembahyang fardu berjemaah setiap waktu. Tidak perlu menunggu Jumaat dan Aidilfitri atau di malam tertentu Ramadan kita ke surau dan masjid untuk sembahyang berjemaah. Jangan kita dilalaikan oleh aktiviti duniawi yang merugikan hidup di dunia dan akhirat.
Jika Anda menyukai Artikel di blog ini, Silahkan
klik disini untuk berlangganan gratis via email, dengan begitu Anda akan mendapat kiriman artikel setiap ada artikel yang terbit di Creating Website
0 comments:
Post a Comment