Kursus : HE23 : Kewangan Islam Ada Apa Dengan Cinta??? ~ Sekretariat Masjid (SM) UMSKAL
Home » » Ada Apa Dengan Cinta???

Ada Apa Dengan Cinta???


Sebut sahaja tentang cinta, orang akan mengaitkannya dengan hari kekasih ataupun valentine day, Adakah Valentine dibenarkan dalam Islam? Apakah hukum menyambut valentine day? Mari kita rungkai bersama jawapannya.

Valentine Day yang secara kebetulan perkembangannya menyebabkan banyak unsur-unsur negatif telah berlaku dan meningkat di kalangan generasi muda zaman ini. Maksiat secara terang-terangan tanpa segan silu seperti sudah menjadi kebiasaan bagi mereka, gejala sosialisme semakin meningkat seperti seks bebas dan materialisme, ini tidak menghairankan kerana budaya ini sememangnya diimport dari budaya barat yang bersifat serba boleh dan hedonisme (menurut hawa nafsu). Tahun demi tahun valentine day semakin mendapat sambutan dan dikenali di kalangan generasi muda yang alpa dengan arus peradaban yang dibawa oleh barat.
Kali ini kita akan rungkai tentang isu valentine day dan berkongsi bersama-sama sedikit sebanyak maklumat tentang isu tersebut.

Sejarah Valentine:
Dari sudut sejarah Valentine, Perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian yang amat berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine, dimana status kedudukannya di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan dikalangan rakyat Cordova apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya yang tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Namun, sejarah beliau dalam menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga, Ratu Isabella menetapkan 14 Februari tersebut disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine.

Namun itu, terdapat lagi pendapat lain mengenai asal-usul Hari Valentine dimana,

Dikatakan, Hari Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno, ratu kepada dewa- dewi Rom. Pada 15 Februari pula, merupakan Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

Ada juga yang menyatakan bahawa pada 14 Februari 270 Masihi, merupakan hari St. Valentine dibunuh disebabkan pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pertelingkahan tersebut disebabkan oleh Raja Claudius yang mengeluarkan arahan supaya semua perkahwinan dan pertunangan dibatalkan kerana Rom tidak mencukupi tentera muda yang enggan melibatkan diri dalam peperangan kerana tidak mahu meninggalkan kekasih hati mereka, justeru itu, St. Valentine dan St. Marius telah bertindak untuk mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat daripada tindakan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan dipenjarakan, sehingga pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi, beliau akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya. Bagi memperingati dan mengenang jasanya yang tabah dan berani dalam memperjuangkan hak-hak masyarakat Rom ketika itu, 14 Februari telah dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.
Sejarah tersebut jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine merupakan salah satu perayaan keagamaan yang disambut oleh umat Kristian. Malah sekiranya kita merujuk kepada kenyataan-kenyataan pihak Kristian pada hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual di dalam agama Kristian.

Pandangan Islam Tentang Valentine:

Menurut sejarah Valentine dan perhubungannya dengan peradaban Barat ketika ini dapat disimpulkan bahawa:

Valentine merupakan ritual keagamaan iaitu agama Kristian, Valentine dijadikan salah satu ibadah bagi agama Kristen, buktinya ialah, Valentine disambut untuk mengingati dan memuja dua orang yang diberi gelaran orang suci oleh orang-orang Kristian dan dikukuhkan oleh Paus Galasius. Bagi Muslim yang mengikuti Valentine tersebut adalah sama dengan mengikuti peribadatan orang Kristian. ALLAH SWT telah memerintahkan kita untuk tidak mencampur adukkan ajaran agama Islam dengan ajaran agama lain.

Termaktub di dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa jua versi berkenaan dengan St. Valentine, kesemua mereka adalah dianggap sebagai syahid.

Di dalam laman web Spiritrestoration.org: The Premier, Ecumenical Christian Website. A Resource for Mature Christians and Scholars, di bawah topik Definition of religious Holy Days (Pengertian Hari-hari Suci keagamaan), di bawah indeks, Saint Valentine’s Day menyebut bahawa: “Christian celebration of the love of God presented in Jesus and in the lives of Christian believers. St Valentine was a 3rd century martyr. This day is widely observed in the USA as a secular celebration of love.” (Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian, St. Valentine merupakan syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di USA sebagai perayaan cinta di zaman sekular.)

St. Valentine juga sering digunakan oleh gereja-gereja Roman Katolik bersempena mengingati jasa-jasa tokoh agama tersebut, seumpama St. Valentine Church di Philadelphia, Pennsylvania, St. Valentine’s Catholic Church di Peru, Illinois, St. Valentine Church di Bethel Park, Pennsylvania, St. Valentine Church di Thonstetten, Moosburg, Munich dan St. Valentine Church di Buffalo, New York.

Berdasarkan fakta-fakta tersebut, jelas bahawa Hari Valentine merupakan salah sebuah perayaan yang menjadi amalan ritual di dalam agama Kristian. Ini sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih dalam soal yang melibatkan aqidah Islam. firman ALLAH S.W.T.;
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (ALLAH) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.”
(al-Kafirun ayat 1-6)

Valentine turut disambut untuk memperingati atau memuja dewi Juno juga merupakan ritual yang dilakukan oleh orang-orang romawi Kuno yang menyembah berhala atau dewa, seseorang muslim yang menyambut valentine adalah tergolong sama dengan mereka yang syirik dan menyembah berhala.
“Bezakan diri kalian dari orang-orang Musyrik”. HR. Bukhari-Muslim

Valentine sebagai perantaraan untuk mencari jodoh oleh orang-orang Eropah, mereka menganggap bahawa valentine merupakan kuasa atau punca yang boleh mencambahkan kasih sayang mereka, sifat ini adalah sama dengan kepercayaan tahayul yang merupakan salah satu bentuk kesyirikan, dan haram hukumnya bagi umat Islam untuk mengikutinya.

Valentine sebagai media barat untuk mengukuhkan kedudukan peradaban mereka, seperti budaya modenisme, hedonisme, materialisme, dan sebagainya, dimana peradaban ini yang mula membudayai masyarakat kita dan telah banyak merosakkan peradaban masyarakat timur itu sendiri, apatah lagi peradaban umat Islam zaman sekarang. Peradaban barat ini banyak menyumbang kepada peningkatkan gejala-gejala sosialisme, dan ramai golongan-golongan muda yang semakin terpengaruh dengan peradaban barat itu sendiri. “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, ia akan termasuk golongan mereka.” HR. Ahmad
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Ternyata kesemua sifat-sifat Valentine tersebut, tidak ada satupun yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam, dan tidak dapat dinafikan lagi, Valentine merupakan salah satu pintu masuk untuk menjadi sama dengan mereka.
Itulah sifat-sifat Valentine dan kedudukannya dari sudut agama Islam, sekarang ini ramai pemuda-pemudi yang mengikuti perayaan valentine sekadar suka-suka tanpa mengetahui baik buruknya, apa, dan bagaimana perayaan tersebut serta mereka juga tidak mendalami sejarah-sejarah valentine itu sendiri.
Allah SWT ada berfirman bahawa : “Dan janganlah kamu megikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.” QS. 17:36

Sumber : al-islahonline.com

Hukum Menyambut Hari Valentine

Dalam hal ini Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memutuskan bahawa “Amalan menyambut Hari Valentine’s Day adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam”.

Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: "Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam".

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

oleh itu, wahai sahabat-sahabat sekalian, marilah kita sama-sama renungkan perkara ini, jangan sampai kekurangan pengetahuan kita tentang hal-hal tersebut mahupun hal-hal yang sama waktu dengannya, membuatkan kita mudah dipengaruh dan dimanipulasikan melalui cara-cara halus yang telah di dijalankan oleh pihak-pihak yang tertentu.
"berpesan-pesanlah sesama kita"
wallahu'alam.
Jika Anda menyukai Artikel di blog ini, Silahkan klik disini untuk berlangganan gratis via email, dengan begitu Anda akan mendapat kiriman artikel setiap ada artikel yang terbit di Creating Website

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More